KUALA LUMPUR – Cabaran bintang berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dalam acara pecut individu pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 berakhir selepas tersingkir di pusingan pertama.
Pada saingan yang berlangsung di Velodrom Penalolen, Santiago, Chile sebentar tadi, pelumba berusia 22 tahun itu terpaksa akur tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 dari New Zealand, Ellesse Andrews.
Turun sebagai pelumba bukan pilihan, Izzah bagaimanapun cuba untuk memberikan saingan kepada lawannya, namun terpaksa akur apabila melintasi garisan penamat di belakang Andrews.
Walaupun gagal meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya, namun semangat juang dipamerkan Izzah wajar diberikan pujian kerana lawan yang dihadapinya itu merupakan pelumba berkelas dunia.
Terdahulu, pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu melayakkan diri ke pusingan pertama selepas menamatkan aksi kelayakan di tangga ke-26 daripada 34 pelumba menerusi catatan masa 11.019s.
Bagaimanapun, catatan masa tersebut masih jauh jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan 10.578s yang dilakukannya pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Turkiye Mac lalu.
Selepas ini, Izzah yang merupakan wakil tunggal negara pada kejohanan tersebut akan meneruskan cabaran dalam acara keirin wanita yang dijadualkan berlangsung Ahad nanti. – KOSMO! ONLINE














