KULIM – Jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat kepada 858 orang daripada 261 keluarga dengan kesemua mereka ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, mangsa merupakan penduduk dari sembilan kampung iaitu Kampung Seberang Sungai, Kampung Paya Tok Betok, Kampung Seberang Jaya, Kampung Kemunting dan Kampung Banggol Penyengat.
Katanya, empat lagi kampung adalah Kampung Manggis, Kampung Baru, Kampung Sungai Karangan dan Kampung Kuala Benut. “Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok, SMA Insaniah Jangkang, Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Museh, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Min dan Dewan Orang Ramai Sungai Karangan,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, 52 mangsa kejadian fenomena air pasang dan ombak besar di Kampung Huma, Tanjung Dawai di daerah Kuala Muda pada kelmarin masih berlindung di PPS SJKC Choong Cheng.
Sungai Pendang di Pekan Pendang mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya setakat pukul 12 tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE














