fbpx
Kawasan tanah perkuburan Islam di Kampung Toh Johan di Bukit Gantang yang ditenggelami banjir hari ini. - Foto WAT KAMAL ABAS

Jenazah dihanyut arus banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT GANTANG – Penduduk Kampung Toh Johan di Kuala Trong di sini gempar apabila menemui jenazah yang terkeluar dari liang kubur selepas banjir surut pagi tadi.

Seorang penduduk, Mohd. Ridwan Abdul Karim, 37, berkata, dia menemui papan keranda yang terkeluar dari liang kubur ketika memeriksa kawasan tanah perkuburan itu.

“Pagi tadi saya tunggu air surut. Apabila keluar nampak macam ada papan keranda dihanyutkan banjir dari tapak asalnya.

“Apabila saya pergi periksa, jenazah di dalamnya telah tiada,” katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan itu di sini hari ini.

Menurutnya, selepas itu dia mencari jenazah di kawasan persekitaran dan mendapati ia telah dihanyutkan sejauh hampir 50 meter dari kubur asal.

Mohd. Ridwan berkata, waris jenazah tersebut kemudiannya dimaklumkan mengenai penemuan itu sebelum dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan.

Katanya, kejadian itu pertama kali berlaku di kawasan tersebut walaupun banjir besar pernah melanda sebelum ini.

“Kejadian ini dipercayai berpunca daripada aliran deras air Sungai Trong berhampiran yang menyebabkan beberapa tanah kubur rosak dan terhakis.

“Jenazah itu baru sebulan dikebumikan di kawasan ini dan tidak sangka, banjir yang deras bukan sahaja menumbangkan kebanyakan batu nisan malah turut menghanyutkan jenazah” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN