fbpx
Kejadian kegagalan cerun kritikal yang berlaku di Jalan Tun Sardon (Bukit Baru), semalam

Hujan lebat, angin kuat punca tanah runtuh di Balik Pulau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGETOWN – Hujan lebat berterusan dan angin kuat dikenal pasti punca utama kejadian tanah runtuh, pokok tumbang dan batu terjatuh di beberapa lokasi di Pulau Pinang sejak Selasa lalu.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, insiden paling besar direkodkan di Jalan Tun Sardon (Bukit Baru) melibatkan runtuhan cerun kritikal di Kilometer (KM) 5.10 laluan P14 petang semalam.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri menerima aduan pada pukul 4.50 petang daripada orang awam sebelum sepasukan JKR Daerah Barat Daya turun ke lokasi bersama polis. “Siasatan awal mendapati berlaku pergerakan tanah aktif dan runtuhan berada pada tahap kritikal. Laluan itu ditutup sepenuhnya dari pukul 6 petang semalam hingga 6 petang, 25 Oktober bagi faktor keselamatan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, beberapa kejadian lain turut direkodkan di jajaran sama termasuk pokok tumbang dan batu jatuh di KM1.05, KM1.15, KM4.00, KM4.05, KM4.55 dan KM5.00.

”Secara keseluruhannya jajaran tersebut mencatat satu runtuhan cerun kritikal, 15 cerun terbuka, tujuh pokok tumbang, empat runtuhan batu dan satu kes mendapan jalan hasil pemeriksaan awal pasukan teknikal di lokasi,” katanya.

Tambahnya, siasatan terperinci akan dijalankan selepas kerja-kerja pembersihan selesai bagi menentukan tindakan susulan termasuk langkah mitigasi jangka panjang.

“Faktor cuaca ekstrem menjadi penyumbang utama kepada kegagalan cerun, namun laporan penuh akan dibentangkan kepada kerajaan negeri selepas ia dilengkapkan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN