AUSTIN – Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton dikatakan semakin hilang sabar selepas pandangan serta cadangan pembaharuan dibawanya tidak diendahkan pengurusan pasukan Itali itu.
Penganalisis F1, David Croft mendakwa juara dunia tujuh kali itu kecewa dengan hala tuju Ferrari yang dilihat gagal memanfaatkan pengalamannya bagi menambah baik prestasi keseluruhan pasukan.
Hamilton menamatkan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di tempat keempat, satu tangga di belakang rakan sepasukannya, Charles Leclerc yang meraih podium keenam musim ini, namun prestasi itu turut mencatat rekod tidak diingini, 19 perlumbaan tanpa podium sejak menyertai Ferrari.
“Mereka gembira dengan podium, tetapi ia masih belum cukup baik. Ferrari sepatutnya lebih baik daripada ini dan saya rasa Lewis sudah mula hilang sabar kerana usahanya membawa perubahan tidak didengari,” kata Croft.
Menurutnya, Hamilton dilihat berusaha keras membantu Ferrari kembali ke zaman kegemilangan, namun kecewa kerana cadangannya berhubung beberapa aspek teknikal dan operasi tidak diberi perhatian serius.
“Dia mahu bantu pasukan berkembang, tetapi buat masa ini, dia tidak rasa pengurusan benar-benar mendengar pandangannya. Itu boleh jadi isu besar jika berlarutan,” tambah Croft.
Bagaimanapun, Hamilton tetap kekal positif selepas perlumbaan di Litar Austin dengan menyifatkan dirinya kini semakin serasi dengan jentera Ferrari selepas musim debut yang sukar.
“Saya akhirnya rasa lebih faham dengan kereta ini. Masih ada ruang untuk penambahbaikan terutama dalam sesi kelayakan dan permulaan perlumbaan, tetapi secara keseluruhan saya gembira dengan kemajuan pasukan.
“Kami belum ada naik taraf baharu, tapi masih mampu bersaing rapat. Dari segi mata, ini keputusan yang baik untuk pasukan dan memberi keyakinan menjelang pusingan seterusnya,” tambahnya. – AGENSI














