PEMAIN pertahanan warisan Harimau Malaya, Facundo Garces dilihat masih lagi ‘membisu’ selepas dilanda kontroversi apabila dihukum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan pemalsuan dokumen pada bulan lalu.
Sebagai rekod, Garces menjadi salah seorang daripada tujuh pemain warisan negara yang dihukum penggantungan selama 12 bulan selain daripada Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Gabriel Holgado dan Gabriel Palmero.
Ketika ada dalam kalangan pemain terbabit masih aktif dalam laman sosial seperti Machuca dan Figueiredo, Garces yang mewakili kelab La Liga, Deportivo Alaves membuat keputusan untuk berdiam diri ketika ini.
Pengendali Alaves, Eduardo Coudet mengakui tidak tahu mengenai situasi pemain berusia 26 tahun itu dan lebih berminat untuk fokus dengan skuad utama ketika ini.
“Saya tidak tahu di mana dia (Garces) berada sekarang kerana saya tidak bercakap dengannya sejak beberapa hari lepas.
“Saya tiada komen lanjut kerana saya bukanlah individu yang tepat untuk bercakap (tentang penggantungannya) kerana itu adalah urusan pihak pengurusan,” kata Coudet dipetik laman sukan terkenal Sepanyol, AS.Com.
Lebih malang, nama Garces yang menyarung jersi No. 2 kelab telah dilucutkan dalam laman rasmi kelab Alaves susulan daripada penggantungan FIFA ketika ini.
Tanpa kehadiran Garces yang menjadi tunjang benteng pertahanan pasukan, kelab Babazorros itu masih mencatat aksi konsisten dalam La Liga apabila menang satu kemenangan, satu seri dan satu tewas dalam tiga perlawanan.
Selain itu, tinjauan Kosmo! dalam laman statistik sukan transfermrket.com turut menyaksikan nilai pasaran Garces kini hanya €1 juta (RM4.9 juta), jatuh empat kali ganda berbanding €4.5 juta (RM22 juta) pada April lepas.














