SERDANG – Hanya kerana kesilapan kecil tidak memberitahu mahu menggunakan kicap ketika makan, seorang pembantu rumah warga Indonesia menanggung derita luar jangka apabila mulutnya dimasukkan air panas oleh majikan.
Kejadian kejam itu terbongkar selepas seorang lelaki berusia 37 tahun menerima mesej daripada adiknya yang memaklumkan tentang penderaan berlaku di rumah mereka pada pukul 2.30 petang, 19 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, selain itu mangsa turut diseksa di bahagian sulit, disimbah air panas ke kaki dan ditendang pada gigi sehingga patah. “Susulan maklumat diterima, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 59 tahun Isnin lalu kira-kira pukul 1 pagi dan menyelamatkan mangsa.
“Tangkapan susulan turut dibuat ke atas suami wanita berkenaan pada semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Selepas siasatan lengkap, kes dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Klang pada hari ini di bawah Seksyen 13(a) ATIPSOM 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
“Kedua-dua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan dibenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin masing-masing selain pasport kedua-duanya turut diserahkan kepada mahkamah,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes penderaan atau eksploitasi pekerja asing supaya tampil menyalurkan maklumat di IPD Serdang di talian 03-8074 2222 atau balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














