PUTRAJAYA – Gabungan 16 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan sokongan penuh kepada usaha dilakukan beliau dalam membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa.
Memorandum itu diserahkan sebagai simbolik menyokong kepimpinan Perdana Menteri terutama pertemuan rasmi dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada hujung minggu ini.
Memorandum itu diserahkan sendiri wakil gabungan NGO berkenaan iaitu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin kepada Perdana Menteri. Majlis penyerahan itu berlangsung selepas solat Jumaat di Surau Al-Quddus, Presint 16, di sini hari ini.
Antara NGO berkenaan termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia. Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, memorandum sama antara lain bagi menzahirkan sokongan penuh terhadap ketegasan Perdana Menteri dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.
Katanya, gabungan NGO itu menegaskan mengenai hak rakyat Palestin untuk menikmati kemerdekaan serta maruah sebagai sebuah negara berdaulat mesti terus dipertahankan.
“Kami juga menyeru agar Malaysia menyampaikan dengan jelas suara rakyat yang menolak dasar luar Amerika Syarikat yang terus menyokong pendudukan haram Israel. “Malaysia wajar menegaskan keperluan reformasi terhadap sistem antarabangsa yang tidak adil, termasuk kuasa veto yang sering disalahgunakan untuk menutup jenayah kemanusiaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














