TEMERLOH – “Dia sepak, terajang kemudian hentak kepala saya di mesin basuh sampai terjatuh.” Demikian cerita Rabiah Mat, 78, yang menjadi mangsa samun selepas memberikan air kepada seorang lelaki yang berkunjung ke rumahnya baru-baru ini.
Rabiah berkata, dalam kejadian pada pukul 4.20 petang itu, dia tidak menyangka lelaki tersebut hanya berpura-pura meminta air sebelum menyerang dan menyamunnya walaupun dia sudah tidak berdaya untuk melawan.
Katanya, kejadian itu menyebabkan dia trauma dan cedera di kepala dan tangan. “Dia (suspek) datang naik motosikal, beri salam dan minta air. Saya kemudian masuk (rumah) untuk ambil air, dia ikut masuk sampai ke dapur. Selepas minum dua teguk, dia cengkam gelang saya dan tarik kuat,” katanya hari ini.
Sementara itu, cucu mangsa, Muhammad Nazreeq Miqael Mohd. Nazir, 15, memberitahu, ketika kejadian dia yang terlelap selepas pulang dari sekolah tersedar sebaik mendengar bunyi kekecohan di dalam rumah.
“Pada pukul 4.40 petang, saya terjaga selepas dengar nenek ketuk pintu kuat. Saya rasa serba salah sebab tidak memdapat bantu nenek. Sejak balik dari hospital malam tadi saya tak boleh tidur,” katanya.
Remaja itu tinggal di rumah tersebut untuk menemani neneknya yang tinggal seorang diri, manakala ibu bapanya menetap di kawasan berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun sehingga menyebabkan kecederaan.- KOSMO! ONLINE














