PETALING JAYA – Golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir diminta memaklumkan keadaan mereka kepada pejabat pertanian terdekat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan meneliti bantuan sewajarnya untuk mereka yang mengalami kerosakan harta benda atau kehilangan sumber pendapatan akibat bencana tersebut.
“Kementerian akan menyalurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Terdahulu, Mohamad berkata, beliau bersimpati dengan semua mangsa banjir di beberapa negeri yang sedang berdepan ujian berat tersebut.
Katanya, kesemua mangsa banjir diminta supaya bersabar dan kuat. Kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan sedang turun ke lapangan bagi menyalurkan bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa dijaga.
“Bang Mat (Mohamad) amat menghargai semua pasukan penyelamat, anggota agensi kerajaan, sukarelawan dan rakyat yang turun membantu mangsa banjir.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar keadaan cuaca segera pulih dan semua mangsa diberikan perlindungan serta kekuatan untuk menghadapi dugaan ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE














