BALING – Keadaan banjir di Kedah semakin buruk apabila beberapa kawasan di daerah Baling, Kulim, Pendang dan Pokok Sena dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak petang tadi.
Di Baling, antara kawasan terjejas ialah Kampung Weng, Kampung Tanjung Merbau, Kampung Lubuk Pedati dan Kampung Seberang Pekan.
Susulan itu, pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Tun Lama dan Sekolah Kebangsaan (SK) Siong.
Keadaan sama turut berlaku di daerah Kulim apabila beberapa kawasan dinaiki air dengan pasukan penyelamat menjalankan operasi memindahkan mangsa di Kampung Baru Jemerli ke PPS SK Merbau Pulas.
Di daerah Pokok Sena pula, kawasan yang terjejas antaranya ialah Bukit Payung, Kampung Sungai Durian dan Taman Puteri.
Sementara itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, seramai 957 mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS di Kulim setakat pukul 8 malam tadi.
Selain itu, 52 mangsa kejadian fenomena air pasang dan ombak besar di Kampung Huma, Tanjung Dawai di daerah Kuala Muda pada kelmarin masih berlindung di PPS SJKC Choong Cheng. – KOSMO! ONLINE














