SPRINGFIELD, ILLINOIS – Seekor babi di negeri Illinois menempa nama dalam Guinness World Records selepas bermain papan selaju sejauh 10 meter dalam masa 11.32 saat, lapor agensi berita United Press International.
Haiwan bernama Nobert itu mencatatkan rekod dunia untuk masa terpantas bermain papan selaju oleh seekor babi.
Pemilik haiwan tersebut, Vincent Baran berkata, bakat luar biasa Nobert disedari selepas Baran menemui papan selaju lamanya.
“Saya memiliki papan selaju sejak kecil dan saya fikir untuk bermain dengan Nobert. Saya meletakkan papan serta beberapa kacang tanah tanpa garam sebagai ganjaran.
“Dalam masa kira-kira 15 minit, saya berjaya membuatkan Nobert berdiri di atas papan selaju. Selepas beberapa sesi, Nobert menolak papan itu dengan sendiri,” kata Baran.
Tambah Baran, Nobert yang kini seberat 79.37 kilogram gemar mempamerkan kemahirannya. – AGENSI














