KUALA LUMPUR – Pusat Kecemerlangan PKS untuk Peralihan Hijau atau MSME Excellence Centre for Green Transition (Mega) menjadi antara tiga inisiatif utama yang dilancarkan hari ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Pelancaran tiga inisiatif itu yang turut memberi tumpuan kepada elemen ekonomi dan teknologi juga bakal membentuk legasi kepengerusian Malaysia dalam ASEAN sebelum selain mencerminkan keyakinan transformasi ekonomi mesti bermula daripada akar umbi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelancaran inisiatif tersebut bukan sahaja mencerminkan kejayaan dicapai blok ASEAN, tetapi impak yang ditinggalkan Malaysia selepas kepengerusian berakhir.
Katanya, tiga inisiatif itu juga menjadi legasi Malaysia bagi kepengerusian 2025 yang akan memberi manfaat kepada ASEAN dan negara-negara anggota untuk masa hadapan.
“Mega melambangkan prinsip bahawa transformasi ekonomi mesti bermula dari akar umbi.
“Di seluruh rantau ini, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan tulang belakang ekonomi kita, mereka menggaji sebahagian besar tenaga kerja dan memacu inovasi di peringkat tempatan.
“Melalui MEGA, PMKS ini akan memperoleh akses kepada hab pendidikan dan latihan yang akan memudahkan peralihan mereka kepada model perniagaan hijau dan mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tiga Inisiatif ASEAN mengenai Inklusiviti dan Kemampanan di sini, hari ini.
Mohamad berkata, bagi inisiatif kedua iaitu laporan ASEAN Ahead: ASEAN Science, Technology, and Innovation Ecosystem Foresight 2035 and Beyond pula menggambarkan usaha rantau ini meramal masa depan lebih baik.
“Dalam konsep ini, wawasan ke hadapan bukanlah sekadar menilik masa depan, tetapi tentang kesiapsiagaan melihat lebih jauh agar kita dapat bertindak lebih awal.
“Laporan ini bagi mengenal pasti trend, gangguan dan peluang yang akan membentuk bidang sains, teknologi dan inovasi pada masa depan,” jelasnya.
Inisiatif ketiga pula buku bertajuk ASEAN in 2025: Shaping an Inclusive and Sustainable Future yang berperanan sebagai cerminan dan legasi.
Buki ini menghimpunkan idea-idea dalam bidang geopolitik, kelestarian, perdagangan, ekonomi dan teknologi yang menjadi tema membentuk ASEAN. – KOSMO! ONLINE














