KUALA LUMPUR – ASEAN membuktikan keupayaannya untuk belajar, berkembang dan menyesuaikan diri sepanjang hampir 60 tahun sejarahnya termasuk berdepan pelbagai krisis yang menjejaskan rantau ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, selepas krisis kewangan Asia 1997–1999, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjunam, harga aset dan mata wang jatuh mendadak, bahkan pengangguran dan kemiskinan melonjak.
Titah baginda, rantau ini menilai semula daya tahan sistem kewangan serantau, manakala tindakan susulan daripada krisis itu membolehkan ASEAN menghadapi kejutan global dengan lebih kukuh. “Ini termasuk krisis kewangan global 2007 apabila kredit merosot dan keyakinan pelabur hilang, pandemik Covid-19 yang menyebabkan kemerosotan ekonomi ketara di seluruh dunia.
“Terkini, perang Russia-Ukraine yang mengganggu rantaian bekalan serta memberi kesan besar kepada perdagangan, pelaburan dan kos sara hidup global,” titah baginda pada Sidang Kemuncak Pertumbuhan Inklusif ASEAN 2025 di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, secara keseluruhan, KDNK ASEAN meningkat pada purata tahunan 3.9 peratus dan KDNK per kapita meningkat tiga peratus setahun dalam tempoh 2015 hingga 2024, meskipun berdepan kemelesetan akibat Covid-19.
“Angka-angka menunjukkan daya tahan ASEAN yang luar biasa. Kini, rantau ASEAN dengan populasi hampir 700 juta mempunyai jumlah KDNK hampir USD 4 trilion.
“Namun, kemajuan tidak boleh membawa kepada rasa selesa. Rasa selesa melumpuhkan inovasi dan boleh menjauhkan kita daripada nilai-nilai asas yang membawa kita ke tahap ini,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE














