SEPANG- Syarikat penerbangan AirAsia menasihatkan semua penumpang untuk merancang perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bagi mengelakkan sebarang kelewatan akibat penutupan aliran trafik.
AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan, penumpang juga dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan alternatif seperti Express Rail Link (ERL) bagi mengelakkan kemungkinan kelewatan lalu lintas ketara dan sekatan jalan raya.
“Tetamu juga dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum bagi penerbangan domestik serta tiga jam sebelum bagi penerbangan antarabangsa.
“Ini kerana lebuh raya utama termasuk Lebuh Raya KLIA, Lebuh Raya ELITE (KLIA–Putrajaya), Lebuh Raya MEX dan Lebuh Raya KL–Seremban mungkin mengalami penutupan sementara serta lencongan bagi memberi laluan kepada pergerakan kenderaan rasmi,” katanya hari ini.
Kata kenyataan itu, kaunter daftar masuk di KLIA2 juga akan ditutup satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan.
“Para tetamu digalakkan untuk melengkapkan daftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE yang boleh dilakukan dari 14 hari sehingga satu jam sebelum waktu berlepas.
“Mereka juga digalakkan menggunakan pas masuk elektronik yang diterima di semua lapangan terbang di Malaysia dan di banyak destinasi lain dalam rangkaian AirAsia,” jelasnya.
Penumpang juga dinasihatkan menyemak status penerbangan di airasia.com/flightstatus serta mendapatkan maklumat perjalanan terkini dan maklumat penting melalui aplikasi AirAsia MOVE atau di airasia.com. – KOSMO! ONLINE














