KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ahli Lembaga Yayasan Pengakap Dunia (WSF), Puteri Sama Faisal Al Saud di pejabat beliau hari ini.
Anwar berkata, kunjungan itu sempena penganjuran Badan Persekutuan Dunia Baden-Powell ke-77 yang berlangsung di ibu negara bermula semalam hingga 26 Oktober ini.
“Perbincangan kami menyentuh peranan WSF dalam memperkasa generasi muda di peringkat global. Termasuk inisiatif Messengers of Peace yang memberi impak positif terhadap pembangunan belia dan keamanan sejagat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini. Anwar seterusnya berkata, Malaysia dan Arab Saudi berkongsi aspirasi yang sama dalam memperkukuh hubungan dua hala.
Menurut beliau, hubungan dua hala itu khususnya dalam bidang pembangunan belia, inovasi sosial dan diplomasi budaya.
“Semoga jalinan kerjasama ini terus mekar dan menjadi platform penting dalam memperkukuh nilai kemanusiaan sejagat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














