PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau belum menerima apa-apa surat peletakan jawatan daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
“Belum lagi,” ringkasnya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Quddus, Presint 16, di sini hari ini.
Malah, Anwar juga mengesahkan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu turut hadir pada mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
“Datang, datang (Ewon hadir mesyuarat Kabinet pagi tadi),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Penampang itu menyatakan kesediaan meletak jawatan sebagai menteri jika Jabatan Peguam Negara (AGC) merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak Sabah ke atas perkongsian hasil persekutuan dari negeri itu.
Perkara itu dimaklumkan Ewon dalam ucapan penggulungannya pada konvensyen UPKO Penampang baru-baru ini.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat lalu memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak menyalahi undang-undang kerana gagal menyerahkan hak 40 peratus hasil bersih persekutuan yang diperoleh dari Sabah selama hampir 50 tahun.
AGC semalam memaklumkan, pihaknya akan mengkaji penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan susulan. – KOSMO! ONLINE














