KULIM – Seramai 955 mangsa banjir dari sembilan kampung yang terjejas banjir di daerah ini berlindung di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini.
Jumlah itu meningkat berbanding seramai 858 mangsa yang direkodkan pada pukul 12 tengah hari tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, kesemua mangsa daripada 287 keluarga itu merupakan penduduk dari sembilan kampung iaitu Kampung Seberang Sungai, Kampung Paya Tok Betok, Kampung Seberang Jaya, Kampung Kemunting dan Kampung Banggol Penyengat. Katanya, empat lagi kampung adalah Kampung Manggis, Kampung Baru, Kampung Sungai Karangan dan Kampung Kuala Benut.
“Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok, SMA Insaniah Jangkang, Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Museh, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Min, Dewan Orang Ramai Sungai Karangan dan Surau Kampung Padang Meha,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, seramai 52 mangsa kejadian fenomena air pasang dan ombak besar di Kampung Huma, Tanjung Dawai di daerah Kuala Muda pada Rabu lalu masih berlindung di PPS SJKC Choong Cheng.
Sungai Pendang di Pekan Pendang mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya setakat pukul 3 petang tadi. – KOSMO! ONLINE














