IPOH – Kerajaan Perak telah menggerakkan 74 aset dan kenderaan pelbagai agensi ke kawasan terjejas banjir di negeri ini sekali gus membantu mangsa terlibat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aset itu terdiri daripada 16 bot penyelamat, 25 lori pelbagai saiz, lapan ambulans dan 12 kenderaan pacuan empat roda (4WD).
Antara aset lain, menurut beliau, ialah 13 khemah (C-tent) dan pelbagai peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan serta lampu sorot mudah alih. “Tambahan aset kenderaan dan sampan juga telah digerakkan ke semua lokasi berisiko bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera, tersusun dan menyeluruh,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri Perak telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mulai pukul 9.30 malam semalam susulan situasi banjir yang semakin buruk terutamanya di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung.
Serentak dengan itu, Saarani berkata, semua jabatan dan agensi keselamatan negeri telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas bagi mempercepatkan operasi pemindahan dan kerja-kerja menyelamat.
“Tindakan pantas ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.
“Pada masa yang sama, pejabat-pejabat daerah bersempadan seperti Kerian, Kuala Kangsar, Kinta dan Hulu Perak turut digembleng bagi membantu menyediakan aset dan kelengkapan logistik, termasuk di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.
Menurut laporan pihak berkuasa, setakat pukul 8 pagi ini, sebanyak 22 PPS beroperasi iaitu 19 di Larut, Matang dan Selama serta tiga di Manjung yang menempatkan 759 keluarga dengan 2,171 mangsa.
Antara agensi terlibat membantu mangsa banjir di Perak ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut terlibat ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Saarani berkata, kerajaan negeri menasihati semua penduduk di kawasan terlibat agar berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, serta tidak melakukan aktiviti berhampiran sungai, tali air atau alur limpah sepanjang tempoh hujan berterusan ini.
“JPBN bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan semasa dan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
“Aset logistik tambahan telah ditempatkan di lokasi strategik, manakala penghantaran bekalan keperluan asas dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan setiap PPS mendapat bantuan yang mencukupi dan tepat pada masanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














