fbpx
Guni yang mengandungi 22 ketulan mampat ganja yang cuba diseludup melalui tembok keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, semalam. – Foto PGA

22 ketulan mampat ganja cuba diseludup ikut laluan tikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Cubaan sindiket menyeludup 22 ketulan mampat ganja dan pil kuda menerusi tembok keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di sini berjaya digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.

Ketulan mampat ganja itu dijumpai dalam guni putih oleh anggota Kompeni B, Batalion 18 PGA, Pengkalan Hulu dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis pada pukul 7.30 pagi semalam.

Pemeriksaan di kawasan sekitar turut menemukan satu tiub straw berisi lapan pil kuda yang disembunyikan dalam kotak rokok. Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, guni berisi dadah itu dipercayai cuba diseludup dari negara jiran ke Malaysia menggunakan laluan tikus.

“Sebanyak 22 kilogram (kg) ganja dirampas dianggarkan bernilai RM68,200, manakala lapan pil kuda bernilai RM80,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dadah itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padang Besar untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, Cawangan Risik Batalion 18 PGA akan meneruskan risikan bagi mengesan sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan dadah di kawasan Padang Besar dan sepanjang laluan penugasan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis.

“Kita komited untuk terus mempergiatkan usaha mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan negara di Perlis dan Kedah. Briged Utara PGA tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang, khususnya melibatkan penyeludupan di sepanjang sempadan utara negara,” ujarnya.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN