KULIM – Seramai 206 mangsa banjir di daerah ini dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, penduduk yang terjejas adalah dari Kampung Seberang Sungai, Kampung Paya Tok Betok, Kampung Seberang Jaya, Kampung Kemunting dan Kampung Banggol Penyengat.
“Setakat pukul 8 pagi tadi, kesemua 206 mangsa daripada 66 keluarga ditempatkan di PPS Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Min. “Jumlah mangsa tertinggi adalah di SJKC Khai Min seramai 102 orang diikuti Surau Taman Sang Kancil 88 orang dan Dewan Kampung Paya Tok Betok 16 orang,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, 52 mangsa kejadian fenomena air pasang dan ombak besar di Kampung Huma, Tanjung Dawai di daerah Kuala Muda pada kelmarin masih berlindung di PPS SJKC Choong Cheng.
Sementara di daerah Bandar Baharu, lebih 20 rumah dari empat kampung terjejas banjir, namun tiada PPS dibuka kerana mangsa pergi ke tempat selamat atau berpindah ke rumah saudara ketika kejadian.
Sungai Ketil di Kampung Bongor (F2), Baling dan Sungai Pendang di Pekan Pendang mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya setakat pukul 7 pagi tadi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sekurang-kurangnya 15 kampung di lima daerah di negeri ini dilanda banjir ekoran hujan lebat berpanjangan semalam.
Lima daerah yang terjejas setakat ini ialah Bandar Baharu, Kulim, Baling, Sik dan Pendang. – KOSMO! ONLINE














