fbpx
Asyraf Wajdi ketika ditemui pemberita pada Majlis Academia-Industry Collaboration (AIC) 3.0 2025, di Kuala Lumpur, hari ini.

Warden MRSM: Dapatan kajian dibentang kepada Jemaah Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dapatan kajian penempatan bekas anggota polis dan tentera sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah selesai enam bulan pelaksanaannya.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata buat masa sekarang pelaksanaan projek rintis bagi mengekang isu buli itu masih berada di peringkat awal untuk diulas.

“Kita agak pra-matang untuk menyatakan hasilnya positif atau negatif kerana kita akan selesaikan dahulu enam bulan tempoh percubaan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.

“Insya-Allah selesai sahaja enam bulan, saya akan berkongsikan dapatannya. Saya juga diamanahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyiapkan memorandum kepada Jemaah Menteri bagi berkongsi apa sahaja dapatan dan keberhasilan projek rintis ini,” katanya pada Majlis Academia-Industry Collaboration (AIC) 3.0 2025, di sini, hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi, buat masa sekarang pasukan penyelidik yang menjadi pihak ketiga serta bebas dari Universiti Putra Malaysia juga sedang membuat penilaian dan penyelidikan mengenai inisiatif Mara ini.

Pada Ogos lalu, MRSM memulakan projek rintis menempatkan warden bekas tentera di asrama pelajar sebagai inisiatif penting menangani keganasan dan buli di institusi itu. Projek rintis berkenaan dilaksanakan selama enam bulan di MRSM Balik Pulau dan MRSM Besut, selepas Asyraf Wajdi mengemukakan cadangan itu pada April.

Dalam pada itu, majlis hari ini turut menyaksikan 30 pemeteraian kerjasama strategik antara Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), rakan industri dan universiti antarabangsa sekali gus memperkasa sinergi antara dunia akademik serta pihak industri.

Asyraf Wajdi berkata, pencapaian UPTM yang merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 93 peratus wajar dijadikan penanda aras walaupun baru tiga tahun penubuhannya.

Beliau berkata pencapaian tersebut lebih baik daripada kebanyakan institusi pendidikan lain hari ini, namun sasarannya adalah untuk melihat UPTM turut mencapai tahap 97 peratus.

“Kadar kebolehpasaran graduan UPTM kini mencecah 93 peratus, manakala kadar keseluruhan institusi di bawah Mara pula berada pada 97 peratus.

“Namun saya ucapkan tahniah kepada UPTM walaupun hanya berusia tiga tahun tetapi mereka terhadapan dalam menjalinkan hubungan dan kerjasama strategik dengan industri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI