fbpx
Gambar hiasan

Wanita lumur cili satu badan rakan dipenjara 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perbuatan kejam seorang wanita warga Indonesia melumur serbuk cili dalam seluar dan mencucuk badan rakan senegaranya dengan gunting berbalas selepas dihukum penjara 15 tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Erna Wati, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap dan dipenjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda. Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Dyah Ayu Kurniasari, 43, pada pukul 10.30 malam, 7 Oktober lalu.

Jurujual itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Terdahulu, peguam Ahmad Ikram Ab.Alim merayu hukuman ringan dengan mengambil kira tertuduh menetap di Malaysia selama 20 tahun dan mempunyai lima anak berusia lima hingga 11 tahun selain tidak pernah disabitkan kesalahan sebelum ini.

“Saya pohon agar tempoh tahanan reman diambil kira sebagai sebahagian hukuman. Tertuduh benar-benar insaf dan kesal atas perbuatannya. Ini merupakan kesalahan pertama sepanjang 41 tahun hidupnya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tahap kekejaman terhadap mangsa dan kepentingan awam.

“Perbuatan tertuduh amat kejam dan mencerminkan unsur keganasan terhadap wanita. Hukuman berat perlu dijatuhkan sebagai pengajaran agar tidak berulang,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pada pukul 11.56 malam, 7 Oktober lalu, Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur menerima pesakit wanita warga Indonesia yang dibawa menaiki ambulans dari hadapan Pusat Latihan Polis (Pulapol) dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan di badan, tangan dan muka.

Siasatan mendapati, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, mangsa dijemput oleh rakannya dikenali sebagai Ayu dengan alasan ingin mengajaknya keluar minum.

Mangsa menaiki sebuah kereta bersama tertuduh dan dua individu lain, manakala sebuah lagi kenderaan yang dinaiki suami tertuduh mengekori mereka dari belakang.

Ketika berada di dalam kereta, tertuduh mengarahkan rakannya dikenali Kak Ina supaya memandu laju sambil menyoal mangsa.

Disebabkan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, Erna menyuruh rakannya memegang mangsa sebelum tertuduh melumurkan serbuk cili pada muka wanita itu.

Tertuduh turut mencakar dan menampar mangsa beberapa kali, mencungkil mata dan menggunting pakaian wanita itu sebelum mencucuk belakang badannya beberapa kali dengan gunting. Tertuduh turut memasukkan serbuk cili ke dalam seluar dalam mangsa sebelum ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan separuh sedar.

Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami luka akibat tikaman dan cakaran selain kesan serbuk cili dalam seluar. Selain itu, terdapat kesan rambut yang dipotong pada badannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI