fbpx
GAMBAR fail pada 2017 menunjukkan logo Rosneft di sebuah stesen minyak di Moscow. - AFP

Trump hukum Putin, sekat syarikat minyak Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan baharu menyasarkan dua syarikat minyak terbesar Russia, Rosneft dan Lukoil dalam usaha menekan Moscow supaya  mengadakan perjanjian damai degan Ukraine, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

“Setiap kali saya bercakap dengan Vladimir (Putin), kami mempunyai perbualan yang baik dan kemudian, ia tiada keputusan. Ia tidak membawa ke mana-mana,” kata Presiden Donald Trump selepas menemui Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte untuk membincangkan rundingan damai.

Bercakap bersama Rutte di pejabat rasmi Oval Office semalam, Trump mengkritik Putin kerana tidak serius untuk berdamai dan berkata, beliau berharap sekatan itu akan membantu mencapai kata sepakat.

“Saya merasakan sudah tiba masanya. Kami sudah menunggu lama,” kata Trump.

Trump turut menggelar pakej sekatan itu ‘hebat’ dan menambah, beliau berharap ia boleh ditarik balik dengan segera  jika Russia bersetuju menghentikan peperangan.

Pengumuman sekatan itu dibuat sehari selepas Trump mengumumkan bahawa pertemuan dijadualkan antara beliau dan Presiden Russia, Vladimir Putin di Hungary ditangguhkan pada tarikh yang tidak diketahui.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent pula berkata, sekatan baharu itu perlu kerana penolakan Putin untuk menamatkan perang tersebut. Tambahnya, dua syarikat minyak itu membiayai ‘jentera perang’ Kremlin.

“Sekarang adalah masa untuk menghentikan pembunuhan dan mengadakan gencatan senjata,” kata Bessent dalam satu kenyataan.

Kedua-dua syarikat minyak Russia itu mengeksport 3.1 juta tong minyak setiap hari. Rosneft bertanggungjawab untuk hampir separuh daripada semua pengeluaran minyak Russia yang membentuk enam peratus pengeluaran global, demikian menurut anggaran kerajaan Britain. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI