PETALING JAYA – Pengguna kenderaan boleh menikmati kemudahan pembayaran parkir tanpa tunai serta tanpa sentuh dengan eWallet Direct di beberapa parkir berpalang di seluruh negara.
Kemudahan tersebut hasil kolaborasi antara TimeTec Parking bersama FlexiParking dan ia sudah mula dilaksanakan sejak September lalu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Leading Innovative Technologies & Systems Sdn. Bhd. (LITS), Lai Thiam Sin berkata, melalui kemudahan itu, pemandu hanya pandu masuk dan keluar dari lokasi parkir, manakala caj akan ditolak secara automatik dari kredit aplikasi FlexiParking.
Jelasnya, proses berkenaan sangat mudah, pengguna hanya perlu tandakan pilihan Pengecaman Nombor Plat (LPR) yang terdapat di dalam aplikasi untuk kenderaan yang dipilih bagi menikmati parkir secara automatik yang lancar.
“Aplikasi kami mempunyai lebih daripada lima juta pengguna berdaftar dengan plat kenderaan masing-masing. Sudah tiba masanya untuk kami memperluas kelebihan kami ke parkir berpalang (off-street parking).
“Dengan kerjasama Time Tec ini, sebanyak 50 tapak parkir akan menggunakan sistem ini di seluruh negara. Tetapi kami jangkakan dalam tempoh enam bulan ke depan tapak parkir melebihi jumlah itu,”katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengasas dan CEO TimeTec, Teh Hon Seng berkata, dengan sistem eWallet Direct itu ia boleh menghapuskan kesesakan di kawasan parkir dan memberikan keselesaan kepada pemandu.
“Dengan lebih banyak pelaksanaan eWallet Direct di kawasan parkir berpalang LPR, saya jangka sekurang-kurangnya 1,000 kawasan parkir akan mengguna pakai eWallet Direct tahun hadapan.
“Antara kawasan parkir yang sudah mula menggunapakai eWallet Direct dengan aplikasi FlexiParking termasuk Hospital Serdang.
“Lokasi lain seperti Medan Agro Cameron Highlands, Kelana Park View, UTS Keramat Mall, KIPMall Bangi, KLoe Hotel, Pasar Sri Petaling, GoPark@KLIA, Kuchai Exchange dan banyak lagi,” katanya-KOSMO! ONLINE