KUALA LUMPUR – Kajian oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengenal pasti sebanyak 14 ‘hot spot’ (kawasan panas) lokasi gempa bumi di negara ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas sebagai Menteri NRES berkata, kawasan terbabit termasuk Ranau dan Lahad Datu di Sabah.
Menurut beliau, kawasan lain dikenal pasti adalah Niah di Sarawak; Bukit Tinggi dan Janda Baik di Pahang; Batang Kali dan Ulu Yam di Selangor serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan. Hotspot’ lain adalah Kenyir Terengganu; Manjung dan Temenggor Perak serta Mersing, Segamat, Batu Pahat di Johor,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Muda) berhubung data terkini perubahan iklim dan gempa bumi yang berlaku.
Johari berkata, ‘Malaysia National Annex to Eurocode 8: Part 1 – General Rules, Seismic Actions and Rules For Buildings’ telah diterbitkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
Jelas beliau, penerbitan itu dapat memastikan reka bentuk, tahap gempa dan mitigasi kejuruteraan yang bersesuaian untuk diambil kira dalam pembangunan kawasan berisiko.
Ujar beliau, pemaju yang mahu membuat pembangunan perlu melihat kepada kawasan panas berkenaan dan merujuk kepada standard ditetapkan.
“Kita kumpul data-data ini supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila mahu meluluskan pembangunan dan sebagainya merujuk kepada data geospatial,” katanya. – KOSMO! ONLINE