PETALING JAYA – Dunia hoki negara kehilangan seorang lagi figura disegani apabila bekas kapten skuad hoki wanita kebangsaan, Allahyarhamah Rosmimi Jamalani, meninggal dunia di Ipoh pagi tadi, pada usia 58 tahun.
Allahyarhamah yang lebih mesra disapa ‘Mimi’ menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya, Ipoh.
Sepanjang lebih dua dekad, Allahyarhamah menjadi tonggak utama skuad kebangsaan dari tahun 1986 hingga 2001 dengan kemuncak kariernya apabila mengetuai pasukan wanita negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan Sukan SEA 2001.
Sebagai kapten, Rosmimi dikenang sebagai pemain berjiwa besar yang menjadikan disiplin, ketenangan dan semangat juang sebagai teras kepimpinannya di padang.
Di bawah bimbingannya, skuad wanita negara meraih pelbagai kejayaan termasuk tiga pingat emas dan dua perak di pentas Sukan SEA.
Bekas pemain kebangsaan, Deva Leela Devadasan menyifatkan Rosmimi sebagai antara kapten terbaik pernah dimiliki skuad wanita Malaysia.
“Arwah seorang yang berdedikasi, tegas dan bersemangat tinggi semasa latihan dan pertandingan. Kenangan paling indah ialah apabila kami menang tiga pingat emas dan dua perak di Sukan SEA. Tiada siapa boleh menggantikan tempatnya, dia kapten terbaik kami,” katanya.
Selepas bersara, Rosmimi meneruskan baktinya dalam bidang pembangunan sukan apabila menyertai Yayasan Perak dan di situ, beliau memainkan peranan penting membimbing generasi baharu atlet wanita negeri itu, khususnya dalam hoki.
Bagi rakan seperjuangan dan mereka yang pernah dibimbingnya, Rosmimi bukan sekadar jurulatih tetapi juga mentor yang menyemai semangat juang, kerendahan hati dan disiplin tinggi dalam diri setiap pemain muda.
“Sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat di Yayasan Perak, Allahyarhamah dikenali sebagai seorang yang ceria, peramah dan komited dalam tugas. Sumbangan dan dedikasinya dalam membangunkan sukan negeri ini amat dihargai,” dalam satu kenyataan Yayasan Perak.
Pemergian Rosmimi bukan sekadar kehilangan kepada dunia hoki, tetapi juga arena pembangunan sukan negara apabila namanya kekal sebagai simbol kepimpinan dan cinta mendalam terhadap sukan yang membentuk jati dirinya sejak muda. – KOSMO! ONLINE