fbpx
Anggota penguat kuasa Jaheaik dan polis semasa menjalankan pemeriksaan di Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah, Kubang Batang dekat Tumpat hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI

Pondok ‘Abuya’ tidak berdaftar dengan Maik diarah tutup sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Sebuah sekolah pondok di sini yang mempunyai kaitan dengan seorang mudir dikenali ‘Abuya’ diarah tutup sementara selepas didapati beroperasi tanpa pendaftaran sah di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Mohd. Anis Hussein berkata, tindakan itu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang selepas pemeriksaan mendapati premis tersebut tidak pernah menghantar permohonan pendaftaran kepada Maik.

Katanya, notis penutupan sementara berkuat kuasa hari ini sehingga proses pendaftaran dilaksanakan dalam tempoh enam bulan. Tindakan diambil mengikut Seksyen 133 dan Seksyen 135 Kaedah 37 Kaedah-Kaedah Pendaftaran dan Pengawalan Sekolah dan Institusi Pengajian Agama 1987.

“Seramai 20 penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik), polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat menjalankan pemeriksaan di madrasah itu hari ini,” katanya ketika dihubungi selepas penyerahan notis penutupan sementara premis itu hari ini.

Mohd. Anis berkata, selain notis penutupan, notis kesalahan mengajar tanpa tauliah dan mengelola guru agama tanpa kebenaran mengikut Seksyen 117 dan Seksyen 118 Enakmen Maik Bilangan 4 Tahun 1994 turut diserahkan kepada pengurusan madrasah untuk disampaikan kepada ‘Abuya’ atau nama sebenarnya, Mohamad Aswadi Yah, 46.

Katanya, notis itu memerintahkan ‘Abuya’ untuk hadir ke Jaheaik dalam tempoh dua minggu untuk memberi keterangan.

Sementara itu, tinjauan di sekolah pondok tersebut mendapati kawasan berkenaan sudah dikosongkan termasuk kontena dua tingkat yang sebelum ini dijadikan asrama lebih 30 pelajar lelaki. Selain itu, pintu besi asrama setinggi lebih tiga meter turut berkunci rapi.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah yang mempunyai kaitan dengan mudir dikenali ‘Abuya’ didakwa tidak berdaftar di bawah Maik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN