KANGAR – Seorang peniaga didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjual bingkai gambar dan jam dinding pelbagai saiz mengandungi kesilapan ayat-ayat al-Quran, tahun lalu.
Majistret Nurshahida Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Khan Mahammad Hassan, 55, selepas dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan tersebut.
Tertuduh turut diperintah dikenakan hukuman penjara selama 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda dikenakan. Mengikut pertuduhan, Khan didakwa menjual sebanyak 13 unit jam dinding nama-nama Allah dan ayat Kursi, 14 unit bingkai ayat 1,000 dinar, 10 unit bingkai ayat Kursi, sembilan unit bingkai surah empat Qul serta enam bingkai Muhammad yang mengandungi kesilapan ayat-ayat al-Quran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Pertiwi Indah, Seriab dekat sini kira-kira pukul 10.15 pagi, 29 Mac 2024.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 (1) Akta Percetakan Teks Al Quran 1986 (Pindaan) 2023 yang memperuntukkan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 14 (2) akta sama. – KOSMO! ONLINE