SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menyimpan diesel subsidi tanpa kebenaran.
Tertuduh, Mohammad Syafiq Jaily Abdullah, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Dia juga berdepan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Bagi pertuduhan pertama, Mohammad Syafiq didakwa memiliki sebanyak 2,230 liter diesel yang disimpan secara haram dalam tangki tambahan sebuah lori ketika pemeriksaan dilakukan di Bukit Mertajam, pada 7 Julai 2023.
Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki 5,507 liter diesel yang disimpan dalam lori tangki sama ketika pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam, 25 April 2024.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021).
Mahkamah kemudiannya memerintahkan hasil jualan barang rampasan, bayaran bon jaminan kenderaan dan peralatan yang disita sama ada dilucuthak sebagai hasil kerajaan atau dilupuskan. -KOSMO! ONLINE