SEREMBAN – Seorang pekebun getah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan anak rakannya yang berusia 14 tahun pada Februari lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd. Zaib Zakaria, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya. Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa perempuan berusia 14 tahun dengan maksud mencabul kehormatan di Kuala Pilah pada pukul 11.30 malam, 4 Februari lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, mangsa yang berada di kerusi penumpang hadapan kereta ibunya dipeluk tertuduh dari belakang. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.-KOSMO! ONLINE