BEIJING – Sepasang suami isteri muda di wilayah Guangdong, tenggara China menjadi popular kerana memiliki wajah yang hampir sama, lapor portal berita Oddity Central kelmarin.
Liang Caiyu dan He Xiansheng yang berusia dalam lingkungan 20-an, mengusahakan kedai ubat herba di Dongguan, wilayah Guangdong.
Pasangan suami isteri itu menyiarkan klip video promosi kedai ubat di platform Douyin yang merupakan versi TikTok China selepas sukar untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Liang kemudian memujuk suaminya untuk muncul dalam klip video lucu dengan memakai pakaian sedondon bagi menyerlahkan lagi persamaan wajah mereka.
Klip-klip video tersebut menjadi bahan promosi utama kedai mereka.
“Ketika kami mula berkenalan, saya tidak rasa kami kelihatan serupa. Hanya selepas tinggal bersama selama beberapa tahun barulah saya perlahan-lahan sedar bahawa kami memang seiras,” kata Liang. – AGENSI