JAKARTA – Sepasang pengantin baharu di Banjarmasin, wilayah Kalimantan Selatan menjadi perhatian pengguna media sosial kerana menjadikan seekor kucing sebagai hantaran perkahwinan, lapor portal berita Wolipop semalam.
Dalam video tular yang dimuat naik di platform TikTok, kucing berwarna oren itu diletakkan di dalam kotak lutsinar yang dipegang oleh pengantin lelaki.
Pasangan itu kemudian memegang haiwan tersebut yang sudah dikeluarkan daripada kotak dan bergambar dengannya.
Menurut perancang perkahwinan, Glowing Bjm Group, kucing Parsi itu dihadiahkan oleh pengantin lelaki kepada isterinya.
“Pada awalnya mereka mahu meletakkan kucing miniatur di dalam kotak hantaran. Namun, saya memberi cadangan supaya meletakkan sahaja kucing sebenar,” kata wakil syarikat itu.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Buat calon suamiku, saya mahu hantaran begini juga,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI