SHAH ALAM – Seorang pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 104 pertuduhan rasuah keseluruhan hampir RM400,000 bagi permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan sebuah syarikat antara 2020 hingga 2024.
Tertuduh, Zayme Zanee Othman, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Zayme Zanee antara pegawai institusi perbankan yang ditahan dalam Ops Sky yang dijalankan SPRM sejak Januari hingga Oktober tahun ini. Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh sebagai Ketua Unit Pembiayaan cawangan sebuah bank semasa kejadian telah menerima wang rasuah berjumlah keseluruhan RM398,100 menerusi pindahan dalam talian ke akaun bank milik syarikat isterinya.
Ia sebagai upah telah membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan sebuah syarikat pengurusan kewangan.
Kesemua kesalahan dilakukan di cawangan sebuah bank di Bandar Baru Bangi dari 19 November 2020 hingga 4 Oktober 2024.
Mahkamah menetapkan jaminan RM70,000 bersama seorang penjamin yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan. Sebutan semula kes ini akan dijalankan pada 17 Disember ini. – KOSMO! ONLINE