fbpx
Gambar hiasan.

Op Lancar Deepavali: 8,940 kemalangan dalam lima hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jumlah kemalangan sempena Op Lancar Deepavali 2025 mencatat peningkatan sebanyak 5.2 peratus apabila 8,940 kes direkodkan berbanding 8,498 kes tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, meskipun jumlah meningkat, kadar kematian akibat nahas jalan raya menurun 12 peratus daripada 96 kes pada 2024 kepada 85 kes tahun ini.

“Selain itu, kemalangan maut turut menunjukkan penurunan 9.8 peratus, manakala jumlah saman berkurangan 17 peratus kepada 43,379 berbanding 52,090 pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Statistik menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal kekal penyumbang tertinggi kematian dengan 61 orang atau 72 peratus daripada jumlah keseluruhan, namun angka itu menurun 20 peratus berbanding tahun lalu 76 kematian.

“Jalan bandaran merekodkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 3,952 kes (44 peratus), diikuti jalan negeri (18.4 peratus) dan jalan persekutuan (13.3 peratus),” ujarnya.

Tambah beliau, penurunan kadar kematian dan pengeluaran saman mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepatuhan undang-undang serta etika pemanduan berhemah.

Katanya, operasi selama lima hari bermula Jumaat lalu bertujuan meminimumkan kadar kemalangan serta memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan Deepavali.

Pelaksanaan operasi itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam dan bomba di bawah slogan ‘Selamat Bersama JSPT’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI