PETALING JAYA – Malaysia meneruskan peranan aktif dalam memperkukuh keamanan antara Thailand dan Kemboja menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) ke-2 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuala Lumpur, hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai fasilitator, Malaysia komited menyokong usaha Thailand dan Kemboja dalam memperkukuh keamanan serta kestabilan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Menurutnya, perkara itu selaras dengan semangat persefahaman bersama serta kerjasama serantau di bawah payung ASEAN. “Malaysia berharap agar persetujuan yang dicapai pada hari ini, serta proses damai yang sedang dilaksanakan akan terus dihormati demi menjamin keamanan yang berkekalan di kawasan sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Mohd. Khaled turut berpeluang bertemu dengan Menteri Pertahanan Thailand, TYT Natthaphon Narkphanit dan Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, TYT Tea Seiha selepas mesyuarat GBC selesai.
Beliau berkata, Malaysia berbangga menjadi tuan rumah dan menjalin hubungan erat dengan dua negara sahabat berkenaan, sekali gus memperkukuh peranan aktif negara dalam memupuk keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN. – KOSMO! ONLINE