fbpx
Festival Mega I LINDUNG U 2025 akan bermula esok di pekarangan Stadium Shah Alam bermula pukul 10 pagi.

Lebih 70,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Mega I LINDUNG U 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kira-kira 70,000 pengunjung dijangka hadir bersempena Festival Mega I LINDUNG U 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di pekarangan Stadium Shah Alam.

Pelbagai pengisian menarik dan hadiah lumayan disediakan selain berpeluang menyemak, mendaftar dan memahami lebih dekat mengenai skim perlindungan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perkeso berkata, penganjuran festival ini bukan sekadar memfokuskan acara hiburan, tetapi untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan perlindungan sosial sebagai sebahagian gaya hidup sejahtera dan bertanggungjawab.

“Festival ini menjadi platform rakyat untuk mengenali dan mendekati Perkeso secara lebih interaktif. Melalui pelbagai aktiviti ini, kami mahu setiap lapisan masyarakat sedar keselamatan sosial adalah hak dan keperluan asas demi masa depan mereka,” katanya.

Antara pengisian menarik sepanjang festival termasuk sesi borak santai bersama aktivis kemanusiaan Zainal Rashid Ahmad (ZRA), tausiah oleh Sheikh Mahmood Al Wasobi, serta ceramah agama oleh Ustaz Mad Kecik.

Selain itu, pengunjung berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma oleh Bahagian Perubatan dan Pemulihan Perkeso dan saringan kanser percuma oleh Majlis Kanser Nasional.
Pengunjung turut berpeluang menyertai senaman ‘pound’ bersama personaliti kecergasan terkenal, Hanis.

Bagi majikan, Perkeso menawarkan diskaun sehingga 80 peratus ke atas Faedah Caruman Lewat Bayar sepanjang festival berlangsung bagi membantu mereka menyelesaikan tunggakan caruman.

Festival itu juga menjadi medium terbaik buat pencari kerja dan graduan mencari peluang pekerjaan menerusi Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs yang menawarkan hampir 1,000 jawatan kosong daripada syarikat-syarikat terkemuka.

Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai peringkat, termasuk untuk graduan baharu sehingga ke peringkat pengurusan dengan tawaran gaji sehingga RM10,000.

Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti seperti dekorasi kek tiramisu ‘LINDUNG Kasih”’ bual bicara ‘LINDUNG Pekerja’, pertandingan e-Sport ‘LINDUNG Kendiri’ perkongsian inspirasi bersama pempengaruh Makkiah Ferry, serta pertunjukan silap mata oleh Mawie Magic.

Bukan itu sahaja, festival ini menyediakan lebih 60 gerai jualan makanan, minuman dan produk komuniti, selain kaunter semakan caruman dan pendaftaran skim perlindungan Perkeso untuk kemudahan orang ramai.

Setiap malam, pentas utama bakal dihangatkan dengan Konsert I LINDUNG U menampilkan barisan artis popular seperti Rabbani, Drama Band, Kartika, Kristal X dan Sofazr.

Sehubungan itu, Perkeso menjemput semua lapisan masyarakat daripada pekerja, majikan, pencari kerja hingga keluarga untuk hadir ke Festival Mega I LINDUNG U, yang berlangsung pukul 10 pagi hingga 10 malam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN