KUALA LUMPUR – Larangan penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar sekolah berusia bawah 16 tahun yang dicadangkan hanya melibatkan media sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan hanya akan melarang penggunaan media sosial oleh pelajar di sekolah.
“Kalau guna telefon (pintar), dia ada juga masalah, bukan saja (daripada penggunaan) media sosial,ia merujuk kepada pedofilia dan perjudian. Jadi ini sedang teliti. ‘Namun saya sekali lagi cenderung bahawa ilmu dan kecanggihan tidak boleh lari daripada soal adab dan akhlak,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Perdana Menteri sebelum ini dipetik berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar berumur 16 tahun ke bawah.
Menurut beliau, langkah itu bagi membendung pengaruh negatif media sosial dan permainan dalam talian.
Ia susulan kebimbangan terhadap kesan ketagihan serta kecenderungan kepada perilaku jenayah akibat pendedahan berlebihan terhadap kandungan digital.
Kerajaan perlu mengambil pendirian tegas dalam memastikan penggunaan teknologi tidak menjejaskan kesejahteraan dan tumpuan pelajar terhadap pelajaran.
Tambah Anwar, beberapa negara sudah pun melaksanakan dasar serupa dan kerajaan kini sedang meneliti pendekatan paling sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE