PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kematian seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang dipercayai terjatuh dari bangunan kolej kediaman, minggu lalu kepada pihak berkuasa.
Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ketika ini perkara tersebut masih berada dalam siasatan lanjut.
“Kita serah kepada pihak berkuasa, pihak polis untuk menyediakan laporan (siasatan kejadian) itu. “Jadi, untuk peringkat ini, biarlah kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sewajarnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 di sini tadi.
Pada 17 Oktober lalu, media melaporkan seorang mahasiswa UM maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan kolej kediaman di universiti itu, kira-kira pukul 3.30 petang.
UM dalam kenyataan rasmi memaklumkan, penuntut terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). – KOSMO! ONLINE