PETALING JAYA – Kes saman antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akhirnya selesai di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah di sini hari ini.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kes saman itu selesai apabila kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertikaian berhubung kes saman tersebut.
Muhammad Sanusi dengan, secara terbuka, suci hati dan tanpa syarat menarik balik kenyataan-kenyataan yang telah dibuat olehnya pada 13 November 2022 terhadap Anwar. Setelah mempertimbangkan kesan daripada tindakan saman fitnah serta kos perundangan yang bakal ditanggung, pihak-pihak telah bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar dan atau penting yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara.
“Justeru Anwar dan Muhammad Sanusi telah mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka dalam prosiding hari ini (Mahkamah Tinggi Alor Setar),” kata kenyataan itu.
Lanjutan kenyataan turut memaklumkan, Anwar bersetuju untuk menarik saman tanpa perintah mengenai kos selain tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
Pada masa sama, Muhammad Sanusi juga beriltizam untuk tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas tindakan guaman itu.
Kata kenyataan itu lagi, Anwar dan Muhammad Sanusi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hakim Dr. Mohd. Johan Lee kerana tanpa usaha mediasi beliau, penyelesaian ini tidak mungkin berlaku.
“Kedua-dua pihak berharap agar penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak, serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara Malaysia,” kata kenyataan itu lagi. – KOSMO! ONLINE