PUCHONG – Seorang wanita maut manakala dua lelaki cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas melanggar pembahagi jalan di Jalan Puchong Batu 14, berhampiran stesen minyak BHP Kampung Baru Puchong, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.15 malam.
“Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong bersama sebuah jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi dan tiba pada pukul 10.24 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan berusia 49 tahun, dipercayai pemandu e-hailing.
“Kenderaan itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan. Terdapat tiga mangsa di dalam kereta iaitu pemandu dan seorang penumpang lelaki berusia 21 tahun yang mengalami cedera ringan, manakala seorang penumpang wanita berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa wanita diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














