KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terus dibelenggu dengan aksi tidak menentu di Eropah selepas tersingkir daripada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis berlangsung di Cesson-Sevigne.
Semalam, dia sekali lagi tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas menerusi keputusan straight set 16-21, 15-21 kepada pemenang dua kali pingat emas Sukan Olimpik dari Denmark, Viktor Axelsen.
Keputusan itu menyaksikan Jun Hao terus gagal melepasi aksi pusingan pertama sepanjang saingan di Eropah apabila turut tersingkir awal pada Terbuka Denmark di Odense minggu lalu.
Mengulas kekalahan kepada Axelsen, bekas juara remaja Asia itu mengakui dia bermain dalam agak gementar di set kedua sehingga membolehkan pemain lawan memimpin permainan dengan jurang mata cukup besar.
“Mungkin pada set kedua itu, terutamanya ketika mata-mata tertentu, saya rasa sedikit gementar dan terlalu banyak fikir bagaimana mahu membuatkan dia berada dalam keadaan sukar. Dia seorang pemain yang sangat besar.
“Jurulatih (Kenneth Jonassen) juga memang ada membantu saya dari segi taktikal dan apa yang dia (Axelsen) selalu lakukan. Bagi saya, ia sedikit membantu,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pemain No. 20 dunia itu juga menyifatkan aksinya sepanjang di jelajah Eropah masih kurang baik, lebih-lebih lagi sering diundi bertemu pemain-pemain ternama seperti Axelsen dan Li Shi Feng dari China.
“Setakat ini dua jelajah Eropah dan bertemu lawan yang agak sukar, saya hanya cuba tampilkan aksi diperlukan. Saya akan cuba memperbaiki dan membina permainan dari sini,” ujar Jun Hao. – KOSMO! ONLINE














