PUTRAJAYA – Jaguh renang kebangsaan, Khiew Hoe Yean serta atlet memanah, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan bagi 2023/2024.
Kedua-dua atlet itu diangkat sebagai atlet terbaik pada Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan (ASWP) 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya di sini, hari ini.
Anugerah penuh berprestij itu disampaikan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Selaku pemenang, Hoe Yean dan Ariana membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 serta piala pusingan selain turut menerima sijil penghargaan.
Hoe Yean yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 tahun lalu mengetepikan cabaran atlet memanah, Alang Ariff Muhammad Ghazali dan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dari sukan terjun.
Sementara itu, Ariana pula menewaskan rakan sepasukan dari sukan boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi serta atlet wushu, Kwan Yong Xin.
Atlet berusia 20 tahun itu mempamerkan aksi cukup cemerlang selepas berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara recurve individu dan berpasukan wanita.
Sukan renang terus mendominasi ASWP apabila Muhammad Dhuha Zulfikry dan Chong Xin Lin masing-masing diangkat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan, sekali gus membawa pulang piala iringan, wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.
Bagi kategori para pula, Cheah Liek Hou dari sukan badminton serta atlet renang, Asyiil Raziin Razman dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Para Wilayah Persekutuan. – KOSMO! ONLINE