PENJURIAN telus. Itu janji Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selaku pengelola Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang sudah menyenaraikan finalis bagi 27 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini.
Sebagai badan berkredibiliti, proses penilaian bermula dari peringkat saringan awal sehingga fasa penentuan pemenang dilaksanakan secara berwibawa.
Bahkan, tiada campur tangan mana-mana pihak dalam proses pemilihan calon akhir atau Top 5, sebaliknya menyerahkan tanggungjawab penuh kepada panel juri profesional.
Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, Finas hanya fasilitator dalam memastikan kelancaran penganjuran acara tersebut, sekali gus tidak mencampuri amanah digalas juri yang dilantik.
“Tiada kompromi dalam soal ketelusan. Segala keputusan juri adalah bebas, bahkan tidak boleh dicampuri mana-mana pihak.
“Peranan Finas sebagai fasilitator dalam memastikan pelaksanaan FFM34 berjalan lancar,” katanya usai pengumuman calon Top 5 Festival Filem Malaysia ke-34, baru-baru ini.
Pada masa sama, Hans juga menyatakan persaingan pada tahun ini sengit melihatkan peningkatan ketara dari segi kualiti filem serta hasil produk daripada sentuhan karyawan tempatan.
“Kalau lihat dari senarai filem yang bertanding, memang banyak naskhah hebat selain ada senarai pecah panggung.
“Kualiti produksi serta mutu lakonan juga membuktikan filem kita semakin baik secara keseluruhannya.
“Barisan juri juga sudah tentu berdepan kesukaran untuk membuat pemilihan kerana peningkatan industri yang ketara,” ujarnya.
Komen negatif sudah lumrah
Mengenai barisan juri, Hans berkata, identiti panel tidak boleh didedahkan memandangkan proses pemilihan 27 kategori dipertandingkan masih berjalan.
“Identiti juri hanya dapat diumumkan secara rasmi pada malam kemuncak iaitu 8 November ini bagi menjaga ketelusan.
“Segala maklumat termasuk bilangan juri akan dikongsikan ketika itu. Siapa mereka, yang pasti, semuanya profesional,” ujarnya.
Berhubung komen menjatuhkan mengenai penjurian, akui Hans, sememangnya sudah ada persepsi negatif tetapi maklum balas seumpama itu lumrah dalam mana-mana pertandingan.
Secara rasionalnya, Hans malah melihat respons sebegitu dari sudut positif sebagai memberi peringatan untuk FFM 34 agar terus mengekalkan kredibiliti.
“Dalam mana-mana industri pun, pasti ada pandangan positif dan negatif.
“Apabila ada teguran, kita kena terbuka selain memastikan integriti tetap di tempat teratas ,” katanya.
Pada majlis tersebut lima karya iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Soloz Game of Life, Takluk: Lahad Datu, Reversi dan Babah diumumkan sebagai calon Top 5 Filem Terbaik.
Filem terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios (PWS), Blood Brothers: Bara Naga mendominasi FFM34 apabila meraih 13 pencalonan dalam 11 kategori.
Menyuntik semangat kepada pengkarya, penerbit yang memenangi trofi Filem Terbaik pada FFM musim in bakal menerima geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.