MANCHESTER – Bintang legenda Manchester United, Rio Ferdinand memuji prestasi dan pengaruh signifikan yang mula ditunjukkan oleh penjaga gol kelab itu, Senne Lammens.
Persembahan yang ditunjukkan dalam dua perlawanan selepas diturunkan dalam kesebelasan utama termasuk ketika membantu United membenam Liverpool 2-1 di Anfield kelmarin memberi petunjuk bahawa Lammens akan kekal lama di Old Trafford.
Ferdinand mengakui bahawa sekiranya Lammens terus beraksi cemerlang, ia akan membuatkan pemain pertahanan lebih fokus dan tenang menjalankan tugas masing-masing tanpa sebarang rasa bimbang.
“Mengenang semula ketika saya masih beraksi, bilakah masanya saya rasa dalam keadaan terbaik? Ia adalah ketika saya tidak perlu menoleh ke belakang kerana bimbang mengenai apa yang perlu dilakukan oleh penjaga gol pasukan saya.
“Saya tidak pernah ada keraguan mengenai Edwin Van Der Sar. Dia ada seorang penjaga gol yang fantastik, tenang dan sangat berpengaruh menyebabkan anda mampu fokus untuk menjalankan tugas bertahan.
“Ramai yang tidak melihat kepentingan seorang penjaga gol. Mereka mampu memberikan aura untuk seluruh pasukan. Apabila mereka beraksi baik, seluruh pasukan mampu bermain dengan yakin,” katanya.
Sebelum membantu United menamatkan badi kemenangan sembilan tahun di Anfield, Lammens terlebih dahulu mempamerkan aksi dominan ketika menewaskan Sunderland sekali gus menghadiahkan dua kemenangan berturut-turut buat kali pertama untuk pengurusnya, Ruben Amorim sejak berhijrah ke United pada November tahun lalu. – AGENSI