fbpx
Tertuduh diiringi Pegawai SPRM selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah. Gambar ARIF HAMIZAN MISKON

Dua polis didakwa terima RM2,000 lepaskan pasangan buat maksiat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Dua anggota Unit Cegah Jenayah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 sebagai balasan melepaskan sepasang kekasih yang dicekup berdua-duaan di dalam sebuah kereta, Jun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zulhelmi Zaini, 36, yang berpangkat koperal dan Mohamad Arif Roslan, 26, berpangkat konstable bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan terhadap Mohd. Zulhelmi, dia didakwa secara rasuah telah meminta untuk diri suapan iaitu wang tunai berjumlah RM4,000 daripada pasangan berusia 22 dan 20 tahun sebagai dorongan untuk tertuduh yang bertugas di Unit Cegah Jenayah Balai Polis Bukit Baru Melaka tidak mengambil tindakan lanjut terhadap mereka.

Dalam pertuduhan berasingan, Mohd. Zulhelmi secara bersama-sama dengan Mohamad Arif didakwa telah menerima suapan masing-masing berjumlah RM2,000 daripada mangsa sama bagi tujuan sama.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi di Balai Polis Bukit Baru, Jalan Penghulu Abbas dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kedua-dua anggota terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkaran kesalahan itu, jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan terhadap Mohd. Zulhelmi, manakala RM10,000 bagi Mohamad Arif.

Peguam S. Amritpal Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan Mohd. Zulhelmi mempunyai tanggungan isteri serta tiga anak yang masih kecil, manakala Mohamad Arif perlu menyara ibu dan bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai. Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 28 November ini.

Terdahulu, media pada 24 Jun lalu melaporkan seorang sukarelawan polis (PVR) bersama tiga anggota pasukan keselamatan itu direman lima hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM2,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas sepasang kekasih dalam sebuah kereta.

Dua daripada anggota polis berkenaan berpangkat koperal, masing-masing berusia 33 dan 36 tahun serta seorang konstabel berusia 26 tahun, manakala anggota PVR terbabit berpangkat koperal berusia 40 tahun.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI