JAKARTA – Seorang anggota tentera laut Indonesia memukul penunggang teksi motosikal (ojol) gara-gara tidak berpuas hati akibat dibunyikan hon oleh mangsa, lapor laman berita Kompas semalam.
Kejadian berlaku di Grogol, Jakarta Barat Isnin lalu.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman Instagram, anggota tentera tersebut dikatakan memintas penunggang ojol secara berbahaya dan laju, selain menukar lorong secara tiba-tiba untuk membelok.
Ia membuatkan mangsa membunyikan hon kepada askar berkenaan sebelum dia memberhentikan motosikalnya.
“Ini anggota TNI (Tentera Nasional Indonesia), dia menukar lorong secara tiba-tiba dari kanan ke kiri, kemudian menghimpit saya.
“Dia hampir melanggar saya kemudian memarahi saya dengan kata-kata kesat,” kata mangsa sambil merakam video.
Anggota tentera tersebut kemudian dilihat melayangkan pukulan terhadap penunggang ojol dan membelasahnya sebelum ia dileraikan pengguna jalan raya lain.
Sementara itu,Ketua Perkhidmatan Penerangan Angkatan Laut Indonesia (Kadispenal), Laksamana Pertama Tunggul mengesahkan bahawa lelaki tersebut adalah anggotanya.
“Kami masih menyiasat anggota berkenaan. Kami akan bertindak mengikut undang-undang yang terpakai jika terbukti dia bersalah,” katanya. – AGENSI