GENEVA, Switzerland – Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa bekalan ke Semenanjung Gaza telah meningkat selepas gencatan senjata, namun jumlahnya masih jauh daripada sasaran harian iaitu sebanyak 2,000 tan, lapor saluran berita Al Jazeera kelmarin.
Menurut WFP, situasi itu berlaku disebabkan hanya dua lintasan ke wilayah Palestin itu yang dibuka.
Katanya, kira-kira 750 tan metrik makanan dibawa masuk ke Gaza setiap hari.
Jumlah itu masih jauh daripada mencukupi berbanding keperluan sebenar selepas dua tahun peperangan dahsyat oleh Israel yang telah memusnahkan sebahagian besar wilayah tersebut.
“Bagi membolehkan peningkatan operasi bantuan pada skala ini, kami perlu menggunakan setiap pintu sempadan yang ada sekarang,” kata jurucakap WFP, Abeer Etefa dalam satu sidang akhbar di Geneva.
Etefa berkata, sejak gencatan senjata berkuat kuasa, 530 trak WFP telah menyeberang ke Gaza, membawa masuk lebih 6,700 tan makanan yang menurutnya, cuma cukup untuk hampir setengah juta orang selama dua minggu.
Meskipun melebihi kadar sebelum gencatan senjata, 750 tan metrik sehari masih jauh di bawah sasaran WFP atau sekitar 2,000 tan metrik setiap hari.
“Konvoi (bantuan) bagaimanapun berjalan lancar, makanan sampai ke gudang dan pengedaran dilakukan secara teratur dan bermaruah,” katanya.
Namun Etefa berkata, hanya dua pintu masuk yang dikawal Israel beroperasi iaitu Karem Abu Salem di bahagian selatan dan al-Karara di tengah (masing-masing dikenali di Israel sebagai Kerem Shalom dan Kissufim).
Seorang pegawai keselamatan Israel memberitahu bahawa bantuan kemanusiaan terus dihantar melalui pintu masuk Karem Abu Salem dan beberapa pintu tambahan lain mengikut pelan tersebut, namun dia tidak menamakan pintu-pintu itu.
Menurut Etefa, WFP kini telah membuka 26 pusat agihan makanan di Gaza, meningkat daripada lima pada Jumaat minggu lalu.
“Jumlah itu masih jauh daripada 145 pusat agihan yang disasarkan untuk beroperasi di seluruh wilayah tersebut,” katanya.
Kebanyakan pusat agihan itu terletak di bahagian selatan dan tengah Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu Sabtu lalu berkata, lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak, dengan pembukaannya bergantung kepada sama ada Hamas mahu menyerahkan mayat tahanan yang telah meninggal dunia.
Sementara itu, Etefa menambah, beberapa bekalan makanan untuk kanak-kanak dan wanita hamil berjaya dihantar ke utara Gaza melalui bahagian selatan tetapi jumlahnya masih jauh daripada mencukupi.
“Kami masih belum dapat menghantar konvoi berskala besar ke Bandar Gaza atau ke bahagian utara Gaza,” katanya sambil menambah, WFP belum diberikan kebenaran untuk menggunakan jalan utama utara-selatan, Salah al-Din Street.
Tambah beliau, ramai penduduk Palestin di Gaza kini menyimpan sebahagian daripada makanan yang mereka terima kerana bimbang bekalan akan terputus semula.
“Mereka makan sebahagiannya selain menyimpan sedikit bekalan untuk kecemasan kerana mereka tidak begitu yakin berapa lama gencatan senjata ini akan bertahan dan apa yang akan berlaku selepas itu,” katanya. – AFP/AGENSI