KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bakal menyaksikan pemeteraian penyelesaian konflik antara Thailand dan Kemboja sekiranya kedua-dua negara tersebut bersetuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan.
Anwar berkata, penyelesaian konflik antara Thailand dan Kemboja tersebut dijangka diputuskan dalam tempoh beberapa hari ini dan pemeteraian akan dilakukan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.
“Tentang kejayaan kita membantu dalam menyelesaikan pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand. Berulang kali pertemuan diadakan di Malaysia antara ketua pasukan bersenjata Kemboja dan Thailand di Malaysia. Menteri Luar Kemboja dan Thailand dan baru-baru ini Menteri pertahanan Kemboja dan Thailand untuk memeterai syarat-syarat terperinci. “Sekiranya disepakati dalam satu dua hari ini, tandatangan ini akan disaksikan oleh saya dan Trump yang mendokong penyelesaian ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada semua petugas yang sedang bertungkus lumus membuat persiapan rapi untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Anwar berkata, beliau berdoa kepada Allah S.W.T semoga Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berjalan lancar dan memberi gambaran terhadap imej Malaysia yang lebih baik dan harum.
“Petugas sedang bertungkus lumus di peringkat akhir dan saya mengambil kesempatan di dewan yang mulia ini menyatakan penghargaan setingginya kepada petugas-petugas yang jumlahnya puluhan ribu,” katanya. – KOSMO! ONLINE