fbpx
Gambar hiasan

Hukuman rotan wajar dikembalikan dengan syarat ketat – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan ramai pihak supaya hukuman rotan dikembalikan di sekolah bagi menangani isu disiplin pelajar.

Anwar yang juga bekas guru menjelaskan, pelaksanaan hukuman rotan bagi mendisiplinkan pelajar sekolah bagaimanapun harus dilakukan dengan syarat yang ketat.

Beliau turut menegaskan, persetujuan terhadap hukuman rotan itu adalah atas pandangan peribadinya, bukan mewakili pendirian kerajaan. Pandangan peribadi saya hukuman rotan harus dikembalikan. Bukan diberi kelonggaran sepenuhnya. Rotan mungkin di tangan.

“Saya pernah jadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak saya dah rotan di tangan. Tentunya tidak teruk sangat sehingga nampak seperti penderaan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, antara syarat ketat yang beliau maksudkan adalah memastikan hukuman rotan tidak dilakukan di hadapan umum.

Jelas beliau, hukuman itu hanya boleh dilaksanakan guru-guru tertentu di bilik khas iaitu bilik disiplin serta ditetapkan berapa jumlah maksimum rotan.

Katanya, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang kerana kenakalan adalah satu perkara biasa, namun jika melanggar peraturan secara berlebihan perlu ada hukuman.

Kata Anwar, beliau mengambil maklum pandangan kumpulan hak asasi manusia yang merasakan tindakan rotan termasuk dalam kategori penderaan anak-anak.

Ujarnya, beliau memahami kontroversi berkenaan, tetapi ramai pendidik dan ibu bapa merasakan terdapat keperluan untuk melaksanakannya.

Katanya, perkara itu namun memerlukan libat urus semua pihak terlebih dahulu yang akan dikendalikan oleh Menteri Pendidikan sebelum dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pendakwaan dikenakan terhadap dua guru Sekolah Menengah jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian kerana merotan pelajar masih dalam tindakan mahkamah.

Menurutnya, beliau difahamkan salah seorang yang dirotan adalah pelajar autisme, maka beliau tidak boleh memberi komen berlebihan berhubung kes tersebut.

“Kalau kes itu agak ringan, tentunya pihak pendakwa raya boleh menilai semula sama ada meringankan pertuduhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI